Lot Bumiputera adalah satu unit hartanah yang hanya boleh dibeli atau dimiliki oleh orang Bumiputera sahaja. Unit hartanah ini juga dikenali sebagai Bumi Lot. Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan peratus penguasaan orang Bumiputera dalam pemilikan hartanah di Malaysia kerana seperti yang anda sedia maklum penguasaan ekonomi dan kuasa membeli kebanyakkan lebih tertumpu kepada orang Bukan Bumiputera.

Orang Bumiputera adalah terdiri daripada:-

1. Orang Melayu di bawah Perkara 160 (2), Perlembagaan Persekutuan.

2. Anak Negeri Sabah di bawah Perkara 161A (6)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 2 (1) Interpretation ( Definition of Native) Ordinance Sabah (Sabah Cap. 64).

3. Anak Negeri Sarawak di bawah Perkara 161A (6) (a) dan 161A (7) Perlembagaan Persekutuan.

4. Orang Asli Semenanjung Malaysia di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

(Rujukan : Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bil. 5/2010.)

Sebagai langkah menjaga antara hak-hak keistimewaan orang Melayu atau orang Bumiputera, di bawah dasar ekonomi baru, kuota Bumiputera telah diperkenalkan dan pemaju perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan unit hartanah atau kediaman untuk dijual kepada orang Bumiputera. Selain itu, kerajaan Malaysia juga telah memberi mandat kepada pihak berkuasa negeri untuk pengurusan terhadap isu hartanah dan disebabkan itu peraturan diskaun Bumiputera berbeza di antara sesebuah negeri iaitu minimum sebanyak 5% dan maksimum sebanyak 15% diskaun untuk Bumiputera yang membeli hartanah Bumi Lot daripada pihak pemaju.

Walaubagaimanapun, setelah unit hartanah Bumi Lot tersebut dijual dan dipindahmilik kepada pembeli Bumiputera, status Bumi Lot tidak lagi terpakai yang mana pembeli tersebut tidak lagi terikat untuk menjual unit hartanah Bumi Lot tersebut kepada orang Bukan Bumiputera melainkan tertulis di dalam hakmilik atau geran sebagai contoh “Tanah ini tidak boleh dipindahmilik melainkan kepada Bumiputera sahaja”. Jika adanya syarat nyata seperti itu, maka unit hartanah Bumi Lot tersebut hanya boleh dijual kepada orang Bumiputera sahaja dan jika tiada syarat nyata tersebut maka ia boleh dijual kepada sesiapa sahaja termasuk orang Bukan Bumiputera.

Sebenarnya, pembelian hartanah Lot Bumiputera sangat bagus untuk pemilikan hartanah dalam jangka masa panjang kerana hartanah Bumi Lot ini kebanyakkan dibeli oleh pihak pembeli untuk pemilikan sendiri dan sekiranya pemilik berkeinginan untuk menjual unit hartanah tersebut mereka perlu melepaskannya kepada orang Bumiputera sahaja. Walaubagaimanapun, pemilik boleh menjual unit hartanah tersebut kepada orang Bukan Bumiputera, namun beberapa kesukaran perlu dihadapi antaranya sekatan atau halangan daripada pejabat tanah untuk dijual kepada orang Bukan Bumiputera dan kekangan pasaran yang mana kurangnya permintaan terhadap unit hartanah Bumi Lot kerana ianya hanya boleh dijual kepada orang Bumiputera sahaja.

Walaupun begitu, dalam situasi tertentu unit hartanah Lot Bumiputera boleh ditukar status dan dijual kepada orang Bukan Bumiputera melalui beberapa syarat antaranya dengan memohon kebenaran menukar status dengan memberikan alasan yang kukuh kepada pejabat tanah sebagai contoh tiada permintaan untuk membeli unit hartanah Bumi Lot tersebut. Sekiranya permohonan ditolak pemilik boleh membuat rayuan kepada pejabat tanah untuk dipertimbangkan. Selain itu, pemilik juga boleh membayar semula kepada pihak Pemaju diskaun Bumiputera dari harga belian asal.

Tidak semua Lot Bumiputera mengalami kekangan permintaan dan sukar untuk dijual kepada pembeli yang lain. Hal ini adalah kerana sekiranya unit hartanah Bumi Lot tersebut terletak di kawasan majoritinya adalah orang Bumiputera sebagai contoh di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Putrajaya, maka pemilik tidak perlu risau dengan proses jualan unit hartanah Bumi Lot kerana kebanyakkan permintaan adalah daripada orang Bumiputera.

Oleh yang demikian, terpulang kepada anda untuk memilih yang terbaik hartanah yang bakal anda beli sama ada sebagai pelaburan atau pemilikan persendirian untuk dipanjangkan ke generasi seterusnya.