Ditulis oleh Mr Fiqi
Memiliki kediaman sendiri yang selesa adalah impian bagi semua. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang tinggi, pembelian rumah kos rendah adalah menjadi pilihan terbaik kepada mereka terutamanya kepada golongan B40.
Walaubagaimanapun, terdapat syarat-syarat yang mesti dipenuhi oleh anda yang berminat untuk membeli rumah kos rendah. Jadi mari kita lihat apakah syarat-syarat pembelian rumah kos rendah di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Antara syarat-syarat pembelian rumah kos rendah dan sederhana rendah di Selangor adalah seperti berikut:
1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas;
2. Pembeli mestilah bermastautin atau bekerja di negeri Selangor;
3. Tempoh pemilikan hartanah mestilah mencukupi 5 tahun dari tarikh Perjanjian Jual Beli; dan
4. Had pendapatan bakal pembeli atau isi rumah (suami dan isteri) ditetapkan berdasarkan julat harga pasaran hartanah seperti di bawah:-
a. Harga pasaran RM 100,000.00 dan ke bawah – Had Pendapatan isi rumah adalah RM 5,000.00
b. Harga pasaran RM 100,001.00 sehingga RM 250,000.00 – Had pendapatan isi rumah adalah RM 7,000.00
c. Harga pasaran RM 250,001.00 sehingga RM 300,000.00 – Had pendapatan isi rumah adalah RM 9,000.00
d. Harga pasaran RM 300,001.00 dan ke atas – Had pendapatan isi rumah adalah RM 10,000.00
Manakala bagi pembelian rumah kos rendah di Kuala Lumpur, tiada pra syarat yang perlu dipenuhi oleh pembeli. Cuma rumah kos rendah tersebut mestilah telah dimiliki oleh penjual lebih 10 tahun daripada tarikh Perjanjian Jual Beli yang asal sebelum hendak dijual kepada pembeli. Akhir sekali syarat-syarat pembelian rumah kos rendah di Negeri Sembilan pula adalah seperti berikut:
1. Warganegara Malaysia;
2. Berumur 18 tahun dan ke atas;
3. Pendapatan isi rumah hendaklah:
a. Bagi harga rumah di bawah RM100,00.00 – Pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi RM 5,000.00.
b. Bagi harga rumah melebihi RM100,000.00 – Pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi RM 7,000.00.
4. Pembeli atau Pasangan (sekiranya sudah berkahwin) tidak pernah memiliki mana-mana hartanah.
Sekiranya anda ingin membeli rumah kos rendah, pastikan anda melepasi semua syarat-syarat di atas bagi membolehkan permohonan kebenaran pindahmilik rumah kos rendah diterima.