Penulis: Ms Nurdinie
Harta pusaka adalah sesuatu harta yang ditinggalkan oleh si mati samada daripada jenis harta alih mahupun harta tidak alih dan segala hak yang menjadi miliknya semasa hidup dan hak tersebut akan berpindah/diwarisi dan menjadi milik waris selepas kematiannya.
Apabila seseorang yang meninggal dunia, pewaris kepada si mati wajib menguruskan harta peninggalannya dengan segera bagi membolehkan harta pusaka dimanfaatkan oleh waris yang ditinggalkan. Urusan ini juga sewajarnya dipercepat bagi mengelakkan berlakunya risiko:
1. Pertambahan bilangan waris yang ramai akibat kematian berlapis
2. Mengelakkan mengelakkan berlakunya tanah terbiar
3. Risiko kehilangan dokumen penting yang akan merumitkan urusan
4. Perpindahan wang simpanan dari mana-mana institusi kewangan ke akaun wang tidak dituntut.
Oleh yang demikian, semua waris-waris yang layak/berhak perlu tahu apakah yang perlu dilakukan oleh waris-waris yang berhak /layak terhadap harta pusaka si mati yang meninggal dunia.
Berikut adalah antara perkara yang perlu diuruskan oleh waris si mati :-
1. Perbelanjaan pengkebumian/pengurusan jenazah
2. Pelaksanaan hutang si mati
3. Pelaksanaan Wasiat
4. Harta Sepencarian
5. Pembahagian Harta Pusaka kepada Waris
ASPEK PENTING DALAM PROSES PENGURUSAN HARTA PUSAKA YANG PERLU WARIS-WARIS LAKUKAN?
- AHLI WARIS- menentukan waris-waris yang benar-benar berhak / layak mewarisi harta pusaka dan memastikan tiada waris yang tercicir
- JENIS ASET – Menyenaraikan kesemua harta sah simati yang terdiri daripada harta alih & harta tidak alih.
- CARA PEMBAHAGIAN – Ahli waris perlu menentukan cara pembahagian sama ada muafakat atau faraid atau takharruj (melepaskan hak).
DI MANAKAH PERLU MEMBUAT PERMOHONAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA? @ UNTUK MENDAPATKAN PERINTAH HARTA PUSAKA?
Bagi harta peninggalan si mati seperti tanah sahaja/ tanah dengan rumah, tanah, rumah, dan harta alih (barang kemas, wang simpanan di bank, kereta dan lain-lain) yang bernilai RM2 JUTA KE BAWAH tanpa wasiat hendaklah dimohon di – UNIT PEMBAHAGIAN PUSAKA NEGERI-NEGERI; Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang mana terletaknya harta tak alih si mati. Sekiranya harta tak alih berada di beberapa tempat, hendaklah dikemukakan di satu tempat sahaja iaitu di Unit Pembahagian Pusaka salah satu harta tidak alih simati.
Bagi harta peninggalan si mati seperti harta alih dan harta tidak alih bernilai RM 2 JUTA KE ATAS atau harta tak alih sahaja bernilai RM2 JUTA KE ATAS mempunyai wasiat/ tanpa wasiat /sebahagian wasiat hendaklah dipohon di MAHKAMAH TINGGI SIVIL
Dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan dalam permohonan adalah – Sijil Mati, Kad Pengenalan/Surat Beranak waris-waris yang layak dan dokumen-dokumen harta pusaka si mati.
Setelah waris-waris mendapat perintah pembahagian/surat kuasa tadbir hendaklah membawa perintah/suratkuasa tadbir tersebut untuk didaftarkan /turunmilik di pejabat tanah, atau di Institusi Kewangan, JPJ, atau di tempat harta pusaka tersebut perlu dituntut/ditukar nama.
APAKAH PENTADBIR – orang yang diberi surat kuasa tadbir oleh mahkamah/pejabat pusaka (Borang F). Perlantikan pentadbir dilakukan melalui persetujuan bertulis semua waris faraid yang berhak. Syarat utama bagi proses mentadbir harta pusaka adalah dengan PERLANTIKAN PENTADBIR sebagai pengurus harta pusaka.
Pentadbir bertanggungjawab mengumpul & mentadbir harta si mati, membayar hutang-hutang si mati, memastikan hak dan kepentingan semua waris (terutama waris di bawah umur atau anak kelainan upaya) terhadap harta pusaka dilindungi dan diserahkan sepertimana yang tertakluk dalam perintah.
Anda disarankan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal undang-undang berdaftar bagi memudahkan pengurusan harta. Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pada pembaca sekalian.
Terima kasih.