Jenis hartanah Hakmilik Pegangan Kekal atau dalam terjemahan lain dikenali sebagai hakmilik pegangan bebas (Freehold) merupakan antara jenis hartanah yang sering diburu oleh kebanyakan pihak Pembeli.
Pembelian hartanah Hakmilik Pegangan Kekal sangat menguntungkan pihak Pembeli kerana hartanah jenis ini merupakan jenis hartanah yang mana pemilikannya adalah kekal untuk tempoh selama-lamanya tanpa pihak Pembeli perlu risau hartanah tersebut harus dipulangkan semula kepada pihak Kerajaan seperti hartanah hakmilik pajakan.
Pihak pembeli mensasarkan objektif pembelian hartanah jenis hakmilik ini supaya mereka mudah untuk memindahmilik hartanah tersebut kepada generasi-generasi mereka seterusnya ataupun menjualnya kepada pembeli-pembeli yang lain tanpa sebarang sekatan dan tanpa perlu mendapatkan kebenaran memindahmilik daripada pejabat tanah atau pihak berkuasa tempatan.
Selain daripada itu, kelebihan lain adalah dari segi nilai hartanah itu sendiri yang mana ianya lebih bernilai daripada jenis hartanah hakmilik pajakan kerana permintaan terhadap hartanah Hakmilik Pegangan Kekal ini sangat tinggi di pasaran disebabkan kriteria-kriteria di atas selain aspek-aspek lain yang mempengaruhi nilai hartanah seperti, lokasi, fasiliti, pembangunan sekeliling dan sebagainya.
Faktor kemudahan mendapatkan kelulusan pinjaman daripada institusi-institusi kewangan bagi hartanah Hakmilik Pegangan Kekal juga adalah salah satu sebab pembeli memilih untuk membeli hartanah jenis ini tanpa ragu-ragu lagi.
Walaubagaimanapun, hartanah Hakmilik Pegangan Kekal ini masih tertakluk kepada Akta Pengambilan Tanah 1960 yang mana pihak kerajaan tempatan masih mempunyai kuasa untuk mengambil hartanah tersebut daripada pemiliknya untuk tujuan pembangunan milik kerajaan seperti pembinaan jalan raya, projek LRT dan sebagainya dengan balasan sejumlah pampasan yang diberikan mengikut harga pasaran semasa hartanah tersebut.
Oleh yang demikian, keberuntungan pihak Pembeli membeli hartanah jenis Hakmilik Pegangan Kekal ini terbukti apabila pemilik hartanah jenis ini yang ingin menjualnya kembali dipercayai memperoleh pulangan modal dan sewaan yang lebih tinggi daripada harga semasa belian.
Apapun pilihan anda dalam memilih jenis hartanah yang ingin dibeli, yang pasti pelaburan hartanah ini sangat menguntungkan kerana nilainya yang semakin meningkat dan jarang sekali memberi kerugian kepada si pemilik atau si pembeli.