Tidak dinafikan, pemilikan rumah adalah suatu detik manis dalam kehidupan kita. Ia menandakan bahawa kita telah melangkah maju ke hadapan, apatah lagi sekiranya pembelian tersebut adalah pertama kali dilakukan.
Dalam keterujaan kita dengan penyerahan kunci kediaman oleh pemaju bagi pembelian secara terus daripada mereka (purchase direct from developer), ada beberapa perkara yang wajar diambilkira sebelum berpindah dan mengecapi nikmat rumah baru tersebut..Jangan terburu-buru, semak dahulu TEMPOH TANGGUNGAN KECACATAN /DEFECT LIABILITY PERIOD!Perkara ini dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli yang dimeterai antara Pembeli dan Pemaju berkenaan. SILA SEMAK! Pemaju akan menanggung kos pembaikan kecacatan yang timbul di hartanah tersebut dalam tempoh waktu yang tertentu antara 12 hingga 24 bulan daripada tarikh penyerahan kunci dibuat.
Semasa penyerahan kunci, pemaju akan menyerahkan borang-borang berkenaan (untuk pembukaan akaun tnb dan syabas) dan senarai semak (checklist) kepada pemilik untuk memeriksa dan mengenalpasti samada berlakunya kecacatan pada hartanah tersebut atau sebaliknya.
Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah :-
a) Pintu : Pastikan tidak kopak, tombol dan kunci boleh berfungsi dengan baik, engsel pintu pastikan tidak berkarat
b) Jubin Lantai : Perhatikan samada wujud rekahan/pecah atau kemasan yang tidak sama
c) Tingkap : Boleh ditutup/dibuka dengan baik, tidak pecah/retak, frame dalam keadaan sempurna
d) Tangga : Samada wujud rekahan atau handrail bergoyang
e) Dinding/Tembok : Pastikan Kemasan dinding samada wujud rekahan, cat tak sekata atau kesan takungan air
f) Siling : Lihat jika ada rekahan, takungan air atau kemasan tidak sekata
g) Pagar : Periksa kemasan pagar, pastikan frame tidak bengkok dan boleh ditutup dengan sempurna, sekira menggunakan autogate, pastikan alat kawalan berfungsi dengan baik.
Setelah pembukaan akaun dengan pihak TNB dan SYABAS disempurnakan, dan kemudahan elektrik dan air disambungkan, pemilik juga perlu mengawasi perkara-perkara berikut :-
Biarkan air mengalir untuk beberapa ketika bagi membersihkan pili yang pertama kali digunakan atau pengaliran air yang tidak bersih. Awasi kiraan meter air dan elektrik tersebut samada bacaan yang tertera betul atau tidak. Pemilik selanjutnya perlu memeriksa tangki air samada berlaku kebocoran setelah penuh diisi. Pastikan tandas boleh diflush, tiada sinki atau tandas yang tersumbat dan yang paling penting apabila berlaku hujan lebat, samada wujud kebocoran di mana-mana binaan khususnya atap, bumbung dan dinding. Juga penting untuk memastikan aliran elektrik dalam keadaan yang selamat dan tiada fius yang terbakar bagi mengelak litar pintas atau kecelakaan kepada pemilik mahupun penghuni lain bagi hartanah tersebut.
Bagi pemilik yang dijanjikan dengan pakej perabot, barangan elektrik seperti alat pemanas air (water heater), pendingin hawa atau televisyen dan sebagainya, sila pastikan barangan adalah dari jenama yang sama atau setidak-tidaknya sekiranya kehabisan stok yang ditawarkan, gantian barangan perlulah sama nilai dengan yang dijanjikan dan berfungsi dengan baik.
Menjadi pemilik kediaman bukanlah suatu yang mudah. Selain pengorbanan bayaran ansuran bulanan daripada hasil titik peluh setiap bulan, kita bertanggungan atas keselamatan setiap ahli keluarga yang mendiami rumah tersebut. Memandangkan tempoh tertentu diperuntukan kepada pemaju untuk tanggungan pembaikan kecacatan, maka kita tidak patut leka dan ambil mudah perkara di atas kerana seusai tempoh tersebut, ia bukan lagi di bawah tanggungan pemaju sebaliknya duit poket kita yang tertiris. Rugi bukan! Justeru, ambil peduli. Penting untuk kita sentiasa peka bagi mengelak penyesalan di kemudian hari.