TUNANG BATALKAN PERJANJIAN UNTUK BERKAHWIN? BOLEHKAH AMBIL TINDAKAN SIVIL?

Majlis perkahwinan dah nak dekat tetapi tunang anda batalkan niat untuk kahwini anda tanpa sebab yang munasabah. Bagaimana dengan persiapan perkahwinan yang anda dah buat? Bagaimana pula dengan maruah diri dan keluarga anda tatkala dimalukan sewaktu menjelang majlis perkahwinan?

Di Malaysia, perjanjian untuk berkahwin adalah dianggap sebagai perjanjian yang mengikat pihak-pihak dan sekiranya terdapat pihak yang tidak menepati janji, maka pihak yang terkilan boleh membuat tuntutan ganti rugi di Mahkamah. Namun, terdapat perbezaan berkenaan tuntutan pelanggaran perjanjian untuk berkahwin yang dibuat oleh seorang Muslim dan bukan Muslim. 

Pelanggaran perjanjian perkahwinan oleh Bukan Muslim

Jika anda dan pasangan anda bukan beragama Islam, YA anda boleh mengambil tindakan saman sivil terhadap pasangan anda yang telah berjanji untuk mengahwini anda dan mengingkari janji tersebut kerana ia tergolong di dalam kemungkiran kontrak yang diperuntukkan di dalam Akta Kontrak 1950. Namun, untuk menjadikan perjanjian tersebut sah dan berkuat kuasa, selain memenuhi kesemua elemen kontrak, terdapat beberapa elemen lain yang harus dipenuhi semasa perjanjian tersebut dibuat iaitu:- 

  • Kedua pihak masih bujang;
  • Kedua pihak mestilah berumur 18 tahun ke atas; dan,
  • Kedua pihak tidak dalam hubungan yang dilarang (pakcik dan anak saudara, dan sbg.).

Berdasarkan elemen-elemen di atas, sekiranya seorang bukan Muslim yang telah berkahwin berjanji untuk mengahwini anda, perjanjian tersebut adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia sesuatu yang tidak bermoral dan bertentangan dengan polisi awam. Namun, anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memungkiri janji sekiranya anda tidak tahu berkenaan status perkahwinan individu tersebut. Sebagai contoh, di dalam kes Mary Joseph Arokiasamy v. G. S. Sundram [1938] 1 MLJ 4, Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif untuk menuntut ganti rugi pelanggaran perjanjian untuk berkahwin oleh Defendan kerana Plaintif tidak sedar tentang status perkahwinan Defendan dan Plaintif telah diberitahu bahawa Defendan merupakan seorang duda.

Nilai ganti rugi bagi pelanggaran pertunangan ini adalah tidak tetap kerana ianya berdasarkan budi bicara Mahkamah dan juga kelakuan pihak-pihak. Sekiranya tunang anda memungkiri janji untuk berkahwin dengan anda, anda sebagai pihak yang terkilan berhak untuk mendapatkan kembali semua perbelanjaan yang ditanggung dalam penyediaan perkahwinan seperti wang deposit untuk tempat perkahwinan, kos pakaian pengantin, kos cincin perkahwinan dan lain-lain. Namun, tuntutan ini mestilah dibuktikan dengan invois, resit atau dokumen sokongan yang berkaitan. Mahkamah Sivil juga boleh memberikan ganti rugi untuk penghinaan dan aib yang ditanggung oleh anda akibat pertunangan yang diputuskan oleh tunang anda. 

Seandainya anda telah diperdaya dengan janji-janji manis seorang lelaki sehinggakan anda mengorbankan maruah anda tetapi lelaki tersebut enggan menunaikan janjinya untuk mengahwini anda, anda juga boleh menuntut ganti rugi kemungkiran perjanjian walaupun anda belum secara rasminya bertunang dengan lelaki tersebut. Di dalam kes Mahkamah Tinggi Nagamah a/p Subramaniam lwn Ponnusamy a/l Rajoo [2008] 6 MLJ 152, Hakim Mohd Azman Husin membenarkan tuntutan Plaintif dan mendapati bahawa Defendan berjanji untuk berkahwin dengan Plaintif yang mudah terpedaya dengan janji manis tersebut sehingga sanggup menyerahkan tubuhnya kepada Defendan dan ia tidak akan berlaku sekiranya Defendan tidak membuat janji tersebut. Tindakan Defendan melarikan diri daripada Plaintif selepas Plaintif meminta Defendan mengahwininya menunjukkan wujudnya janji untuk berkahwin dengan Plaintif. Akibat kemungkiran tersebut, Plaintif mengalami kerugian, kesusahan malu dan hilang maruah diri.

Perlanggaran perjanjian perkahwinan oleh seorang Muslim

Di Malaysia, pelanggaran perjanjian untuk berkahwin oleh seorang lelaki Muslim yang telah berkahwin adalah sah dan berkuat kuasa kerana seorang lelaki Muslim dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada seorang. Namun, sekiranya wanita Islam yang telah berkahwin berjanji untuk mengahwini anda, maka perjanjian tersebut tidak sah dan tidak berkuat kuasa kerana Seksyen 14(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melarang seorang wanita yang telah bernikah untuk mengahwini lelaki lain.

Di dalam kes Nafsiah v. Abdul Majid [1969] 2 MLJ 175, Abdul Majid telah pun berkahwin dan mempunyai seorang isteri namun telah menjalinkan hubungan dengan Nafsiah sehinggakan Nafsiah melahirkan anak luar nikah. Nafsiah telah membawa tindakan sivil di Mahkamah atas tuntutan pampasan dan gantirugi disebabkan kemungkiran janji Abdul Majid ini untuk berkahwin dengan beliau. Mahkamah memutuskan bahawa terdapat kemungkiran kontrak dan telah memerintahkan Abdul Majid memberi pampasan kepada Nafsiah.

Pada dasarnya, Mahkamah Sivil juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes pelanggaran perjanjian perkahwinan bagi orang Islam. Walaubagaimanapun, setelah pindaan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa, Mahkamah Sivil tidak lagi mempunyai bidangkuasa berkenaan apa-apa perkara di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti mendengar kes ganti rugi pertunangan oleh seorang Muslim.

Oleh itu, jika anda dan tunang anda beragama Islam dan tunang anda telah memutuskan pertunangan tanpa sebab yang munasabah, anda boleh memfailkan kes Tuntutan Ganti Rugi Pertunangan di Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa : 

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Secara literalnya peruntukan undang-undang ini membenarkan pihak yang terkilan akibat kemungkiran perjanjian pertunangan itu menuntut seperti berikut: 

  1. Menuntut semula apa-apa barangan pemberian pertunangan daripada pihak yang mungkir janji sama ada dalam bentuk asalnya atau harga barangan tersebut jika ia telah rosak atau hilang; dan,

  1. Menuntut apa-apa kerugian yang ditanggung oleh pihak yang terkilan seperti perbelanjaan bagi persiapan perkahwinan setelah berlangsung ikatan perjanjian pertunangan di antara kedua-dua pihak.

Untuk membuat tuntutan Ganti Rugi Pertunangan di Mahkamah Syariah, anda juga perlu membuktikan tuntutan anda dengan mengemukakan resit, invois atau dokumen lain yang berkaitan bagi menyokong tuntutan anda. 

Walaubagaimanapun, di Mahkamah Syariah, tuntutan ganti rugi pertunangan yang anda boleh lakukan adalah terhad kepada pemulangan semula barangan pertunangan dan perbelanjaan persediaan perkahwinan sahaja seperti yang dinyatakan di atas. Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes tuntutan hak pemulihan yang difailkan akibat kesan daripada pembatalan pertunangan.

Sekiranya anda ingin memfailkan tindakan untuk menuntut hak pemulihan akibat daripada kesan pembatalan pertunangan yang melibatkan maruah, kekecewaan, tekanan jiwa, penderitaan, penghinaan dan sebagainya, anda boleh memfailkan tindakan saman di Mahkamah Sivil yang berbidangkuasa. Nilai ganti rugi bagi hak pemulihan ini adalah tidak tetap kerana ia adalah berdasarkan budi bicara Mahkamah Sivil.

Tiada siapa yang inginkan mahligai yang bakal dibina berkecai sekelip mata tanpa sebab munasabah. Jadi, jangan berdiam diri. Dapatkan semula hak anda dan pertahankan maruah anda!