Peranan Peguam dalam membantu pihak Pembeli dan Penjual dalam urusan jualbeli Hartanah sebenarnya adalah penting, walaupun mungkin sebagai klien anda merasakan perlantikan Peguam akan menambahkan kos jualbeli Hartanah kerana anda memikirkan anda boleh mengurangkan kos dengan melakukan proses rundingan harga sendiri dengan pihak yang terlibat, lebih-lebih lagi apabila anda bergantung kepada nasihat dan pengalaman rakan-rakan anda yang telah melalui proses yang sama.

Akan tetapi, harus diketahui bahawa setiap proses jualbeli yang melibatkan Hartanah yang berlainan adalah berbeza dan Pembeli rumah pertama kebanyakkan masih memerlukan nasihat guaman daripada Peguam yang bertauliah untuk memastikan proses pembelian berjalan lancar terutamanya jika anda membeli rumah secara subsale serta yang berkaitan dengan perpindahan hakmilik tanah, dokumentasi dan pengurusan.

Antara peranan penting yang dimainkan oleh Peguam dalam membantu urusan jualbeli adalah seperti berikut:-

1) Memastikan setiap dokumen lengkap

Pihak Peguam akan memastikan tiada keciciran dokumen penting yang boleh melambatkan proses jual beli. Lebih-lebih lagi jika anda adalah Pembeli Hartanah buat kali pertama, banyak dokumen yang perlu disediakan dan diperoleh daripada pihak Penjual yang mungkin anda tidak familiar melihatnya lantas ia akan menyukarkan proses jualbeli tersebut sekiranya tanpa khidmat Peguam. Penangguhan dalam proses jualbeli akan merugikan anda kerana mungkin Pembeli lain akan menggunakan kesempatan ini untuk menawarkan harga belian yang lebih tinggi kepada pihak Penjual yang sememangnya adalah matlamat utama pihak Penjual dalam pelaburan Hartanah.

2) Berurusan dengan pihak ketiga
Kepakaran dan nasihat Peguam dapat membantu anda mengenalpasti perkara-perkara yang harus dilakukan dan dielakkan terutama apabila berurusan dengan pihak Ketiga dalam urusan jualbeli Hartanah bagi menghindar sebarang penipuan. Peguam berperanan mengenalpasti sebarang sekatan undang-undang sebelum rundingan jual beli dibuat dan dengan ini pihak ketiga tidak mudah mengambil wang pendahuluan atau bayaran tanpa dokumen yang lengkap.

3) Memberi penerangan berkaitan prosedur dan istilah berkaitan jualbeli Hartanah

Amatlah penting bagi anda untuk membaca dan memahami kontrak perjanjian jualbeli kerana kesilapan ini sememangnya akan mendatangkan impak negatif di masa akan datang. Mungkin ramai Pembeli dan Penjual yang tidak mengakui bahawa mereka sebenarnya tidak membaca dengan teliti setiap dokumen jualbeli Hartanah terutamanya kontrak jualbeli yang sangat penting dan tidak semua istilah, terma dan syarat di dalam perjanjian jualbeli tersebut mudah difahami. Maka disinilah khidmat dan kepakaran Peguam amat diperlukan sebagai tempat untuk dirujuk berkaitan perkara-perkara kontrak jualbeli yang mengelirukan.

4) Jaminan professional

Setiap Peguam terikat dengan Akta Profession Undang-undang dan harus mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh Majlis Peguam. Maka anda tidak perlu ragu-ragu untuk melantik Peguam bagi menguruskan urusan jualbeli Hartanah anda kerana Peguam juga menjamin perkhidmatan yang ditawarkan adalah secara professional dari awal sehingga selesai proses jualbeli. Sebaliknya jika anda mendapatkan khidmat individu selain daripada Peguam yang diiktiraf, mereka tidak terikat dengan apa-apa akta dan pertubuhan professional.

Oleh hal yang demikian, seorang Peguam bertanggungjawab ke atas pelanggan mereka dan sentiasa melindungi hak anda dalam apa jua situasi perundangan selain memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat sekiranya berlaku sesuatu yang diluar jangkaan. Ini akan memberikan anda ruang untuk membuat keputusan terbaik dalam mendapatkan jalan penyelesaian. Maka disarankan kepada bakal Pembeli dan Penjual untuk mendapatkan khidmat nasihat Peguam dalam proses jualbeli Hartanah.